Pada tanggal 31 Ogos 1957, Malaya ataupun sekarang ini dikenali sebagai Semenanjung Malaysia bebas dari cengkaman penjajahan British.
Sewaktu memproklamasikan kemerdekaan Malaya, perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berkata,
“Malaya akan selama-lamanya menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat yang diasaskan dengan prinsip kebebasan dan keadilan serta menjaga kebajikan dan kebahagiaan rakyatnya dan mengekalkan keharmonian di kalangan semua rakyat.”
(“Malaya shall be forever a sovereign democratic and independent State founded upon the principles of liberty and justice and ever seeking the welfare and happiness of its people and the maintenance of a just peace among all nations.”)
Tanggal 31 Ogos tahun ini, genaplah 53 tahun deklarasi tersebut diungkapkan. Akan tetapi, Malaysia — ditubuhkan selepas Singapura, Sabah dan Sarawak menyertai Malaya pada 16 September 1963, sudah jauh tersasar dari apa yang diungkapkan oleh Bapa Kemerdekaan satu ketika dahulu.
Saya tidak mahu menyentuh isu-isu kebebasan dan keadilan dalam tulisan kali ini kerana isu-isu tersebut telah banyak diungkapkan dalam penulisan-penulisan sebelum ini.
Hubungan diantara etnik di Malaysia
Yang membimbangkan saya dewasa ini adalah masa depan hubungan diantara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Ini adalah permasalahan yang terus-menerus diperdebatkan kerana ianya tidak pernah dapat diselesaikan.
Diantara faktor yang menyebabkan masalah ini tidak dapat diselesaikan adalah kerana ramai yang mengambil jalan mudah apabila berbicara mengenai polarisasi antara kaum di Malaysia.
Menyalahkan Umno seratus-peratus kerana wujudnya masalah hubungan antara kaum adalah hujah yang dangkal dan sama tarafnya dengan propaganda parti tersebut (baca: Umno) kepada orang-orang Melayu yang mengatakan — kaum Cina berniat untuk menjadikan Malaysia seperti Singapura.
Umno tidak akan dapat bertahan pada hari ini jika tidak disokong oleh MCA, MIC dan parti-parti komponen BN yang lain. Parti-parti etnik ini semua memainkan peranan untuk mendapatkan sokongan daripada etnik masing-masing.
Saya timbulkan persoalan ini kerana melihat kecenderungan penentang-penentang Umno yang menggunakan hujah-hujah yang rendah taraf ilmiahnya.
Penulisan daripada golongan-golongan ini didorong oleh kebencian mereka kepada Umno sehingga merasakan semua orang-orang Melayu itu adalah ahli Umno.
Hujah-hujah yang digunakan oleh golongan ini sebenarnya tidak mempunyai banyak beza dengan hujah-hujah yang sering digunakan oleh Perkasa.
Jika Perkasa mengatakan semua masalah di negara ini disebabkan oleh kaum Cina, penulis-penulis “dangkal” ini pula akan menyalahkan kaum Melayu dalam semua perkara.
Fenomena ini boleh diibaratkan seperti melawan kebodohan dengan kebodohan. Akhirnya yang rugi adalah rakyat kerana pergi kemana-mana pun, mereka akan bertemu dengan kebodohan.
Jika anda tidak percaya dengan apa yang saya katakan, cuba luangkan sedikit masa untuk melayari laman-laman web independen atau pro PR, anda akan pasti bertemu dengan tulisan-tulisan yang sama taraf dengan “Perkasa” yang mereka benci dan hina.
Satu sekolah untuk semua
Pemikiran ala “Perkasa” sebenarnya telah lama tertanam dalam pemikiran rakyat Malaysia pelbagai kaum. Ini menyebabkan Malaysia telah lama mempunyai pemikiran “Perkasa” dikalangan orang-orang Melayu, Cina, India dan lain-lain.
Semua ini timbul oleh kerana masyarakat Malaysia pelbagai kaum masih belum mengenali diantara satu sama lain. Didalam buku bertajuk Ethnic Relation in Malaysia: Harmony and Conflict oleh Dr. Syed Husin Ali, beliau mencadangkan agar sistem pendidikan negara harus dirombak semula supaya ianya menjadi faktor penyatu kepada rakyat Malaysia.
Sekolah-sekolah yang eksklusif kepada sesuatu kaum sahaja tidak seharusnya digalakkan oleh kerajaan kerana ianya hanya akan menyebabkan rakyat pelbagai kaum di Malaysia terpisah-pisah.
Saya amat bersetuju dengan cadangan daripada Dr. Syed Husin Ali ini. Sistem satu sekolah boleh memberikan harapan kepada kita untuk menyelesaikan polarisasi diantara kaum di Malaysia.
Anak-anak di Malaysia telah dipisah-pisahkan mengikut kaum semenjak dari bangku sekolah. Jadi tidak hairanlah mengapa kecurigaan timbul diantara satu sama lain.
Kita tidak boleh mengharapkan anak-anak kita terus mengenali rakan-rakan mereka dari latarbelakang kaum dan agama yang berbeza apabila mereka berada di peringkat pengajian tinggi atau di tempat kerja.
Jika semua pihak tanpa mengira perbezaan ideologi politik benar-benar mahu menjayakan agenda perpaduan nasional, kesombongan dan keegoan haruslah ditolak ketepi.
Agenda menubuhkan satu sekolah untuk semua rakyat adalah idea yang realistic untuk merapatkan hubungan diantara kaum di Malaysia.
Janganlah hanya kerana politik, idea yang dicadangkan oleh parti A ditolak mentah-mentah oleh parti B semata-mata kerana idea itu datang dari parti A. Ini politik yang tidak matang dan tidak membantu perkembangan negara untuk menjadi lebih baik.
Sekolah kebangsaan yang dirombak semula sistem dan sukatan pelajarannya agar mencapai tahap sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang lebih baik. Dengan ini ia akan menarik minat ibubapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan.
Menubuhkan satu sekolah untuk rakyat Malaysia berbilang kaum tidak bermaksud menghapuskan kebudayaan dan bahasa etnik-etnik lain.
Bahasa-bahasa seperti Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan dan banyak lagi boleh dimasukkan sekali dalam sukatan matapelajaran disekolah kebangsaan. Dengan ini, rakyat Malaysia akan menjadi berkualiti oleh kerana menguasai pelbagai bahasa.
Jika ada ibubapa yang masih takut sekolah kebangsaan akan menyebabkan kepupusan adat dan budaya mereka, sekolah-sekolah jenis kebangsaan boleh diteruskan. Akan tetapi, ianya perlu diadakan pada waktu pagi atau petang sebelum atau selepas waktu persekolahan sepertimana yang dilakukan oleh sekolah agama rakyat.
Sekolah kebangsaan adalah tempat untuk anak-anak berkenalan diantara satu sama lain dan belajar untuk memahami budaya dan sensitiviti teman-teman mereka dari latarbelakang yang berbeza.
Ini akan membantu merealisasikan impian bagi mewujudkan rakyat Malaysia yang bersatu-padu tanpa mengira latarbelakang kaum dan agama. Persoalannya, apakah kita berjiwa besar untuk melakukannya? Apa lagi alas an untuk menentang sistem satu sekolah? Chauvinis?
*Credit to Amin Iskandar for writing this brilliant article.
No comments:
Post a Comment
Anonymous comments will be deleted except comments from 'anonymous' people I know. Please refrain from comments of a racist, sexist, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. The Chukai Insider also reserve the right to delete off-topic comments.