banner

19 December 2011

Susahnya politik Malaysia

* Saya percaya semua orang mempunyai pendapat sendiri dan hormatilah pendapat itu. Setiap perubahan bermula dari perubahan diri sendiri.



Saya seorang warga Malaysia menganut agama Islam. Untuk dikatakan mencapai tahap seorang Muslim, bukan jatuh di bahu saya. Hanya Allah SWT layak menentukan segala-galanya. Namun, seperti saya ramai yang merasakan politik di Malaysia yang mempengaruhi kehidupan kami sebenarnya membuatkan kami merasakan tiada yang dapat mewakili suara kami baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang. Saya kadang-kadang tidak dapat menahan apa yang hendak disuarakan. Semuanya mengaku Islam dan bukan Islam mengaku membawa nila-nilai Islam (mencontohi Saidina Umar misalnya). Saya secara umumnya suka untuk melihat jika Hijau dicampur dengan Merah. 

Isu berkaitan Islam membuatkan perkara tersebut menjadi sangat sensitif. Majoriti dalam kerajaan mahupun pembangkang menganuti agama Islam. Namun, senantiasa berbalah ideologi dan menunjukkan siapa yang lebih Islamik. 

  • Hijau mengatakan Merah tidak menjadikan Malaysia negara Islam dan hanya memperjuangkan bangsanya sendiri sahaja walhal Islam itu adalah untuk semua. Namun, kadang-kadang terfikir jua niat di sebelah pihak Merah. Dalam Perhimpunan Besar pun Presidennya dari dulu sampai sekarang mendefinisikan bangsa 'Melayu' itu dalam konteks yang sangatlah luas. Menurutnya, Jawa, Bugis, Mamak, India Muslim dan Syeikh pun didefinisikan Melayu. Kalau sebelah Hijau hendak menafikannya, adalah tidak tepat kerana dalam masyarakat sendiri pun golongan-golongan yang disebutkan dianggap sebagai Melayu. Mamak pun Melayu. Oleh itu, jika sebelah pihak Hijau hendak mengatakan parti Merah itu memperjuangkan bangsanya sahaja adalah tidak betul. 
  • Merah pula mengatakan apa yang telah dibuat oleh Hijau untuk membuktikan bahawa partinya memperjuangkan Islam. Sudah banyak pilihanraya di sebuah negeri di Pantai Timur diterajui namun   pihak sebelah Merah masih kabur dengan konsep 'Membangun Bersama Islam'. Bagi Si Merah, 'bersama Islam' itu ada namun mengapa ditinggalkan 'membangun'. Namun, harus diingatkan juga 'membangun' yang diperjuangkan Si Merah. Adakah 'membangun' yang diperjuangkan adalah untuk kroni, kaum kerabat dan sahabat? Salah satu kes seekor lembu membeli kondominium mewah di Bangsar menjadi bukti. Adakah juga 'membangun' yang dimaksudkan pemimpin memandu Rolls Royce, rakyat pula diupah memandu Rolls Royce sebagi pemandu? Adakah itu 'membangun'?
  • Si Hijau pula mengatakan apa yang telah dibuat Si Merah jika benar memperjuangkan Islam. Si Merah dengan pantas menyenaraikan apa yang telah dibuat:
    •  Imam dan Bilal banyak diberikan wang supaya menjalankan tugas dengan fokus ke arah pembangunan Islamiah agar mungkin masuk dalam masyarakat secara menyeluruh dan menjalankan urusan tarbiyah.- Si Hijau dengan pantas lagi berkata wang itu semua hanyalah sogokan semata-mata. Untuk mengaut undi. Tugas Imam dan Bilal biarlah dilakukan secara ikhlas. Namun, adakah kita mempersoalkan keikhlasan Imam-imam dan bilal-bilal tersebut? Kebanyakan tidak mempunyai perniagaan seperti sahabat-sahabat Rasulullah SAW untuk menampung kehidupan mereka.
    • Si Merah menambah dan mempersoalkan berapa banyak masjid dibina oleh Si Hijau di negeri sendiri jika hendak dibandingkan dengan mereka yang membina bukan setakat surau-surau, bahkan masjid yang begitu mahal walaupun ada rakyat yang masih tidur di bawah sekeping kotak sahaja. Namun, apa guna juga masjid besar jika kosong di dalamnya dan pemimpin yang pergi menunaikan solat Jumaat dalam masjid tersebut mempunyai isteri-isteri yang dengan bangganya menunjukkan rambut 'ayam serama' di khalayak ramai? Apa gunanya.
    • Namun, satu perkara yang saya rasakan pihak Hijau memang tidak dapat nafikan adalah dalam usaha pendidikan Islamiah. Keberkesanan itu mungkin kita boleh persoalkan namun usaha-usaha yang dijalankan Si Merah memang hebat. 
      • Di Terengganu (special sikit negeri ini ye), ratusan murid-murid tadika (banyak juga berumur 5 tahun) khatam Al-Quran di bawah rancangan negeri pimpinan Si Merah itu. Saya lagilah malu apabila lagi ramai jumlah itu yang menghafaz surah Yasin! 
      • Saya dulu diberikan didikan agama (sekolah agama petang ekstra) di sebuah sekolah agama yang dijalankan pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu (weekend in Terengganu) dan pentadbir serta tenaga pengajarnya jelas sekali adalah di sebelah pihak Si Hijau. Namun, ada pihak Si Merah membawa perkara itu kepada kerajaan dan pihak kerajaan Si Merah pula ingin membantu dari segi kewangan. Benar juga kata kerajaan Si Merah ini apabila saya mendengar orang kampung yang jelas Merahnya berkata " Ye lah, kita dok ramai orang nak ngajor, kite pun bukan tinggi mana ngaji agama. Doh ada ustaz nak ngajor agama, kita bayarlah upah. Nak tolong cara lain dok buleh doh, ye dok? Biarlah orang Hijau pun". Kadang-kadang saya sendiri keliru pihak mana yang lebih Islamiknya- yang melaungkan 'Allahuakbar' di ceramah ataupun yang melaksanakan usaha yang menunjukkan Allah SWT itu Maha Besar melalui program pendidikan.
    • Saya rasa ramai pihak tidak faham konsep negara sekular itu dan sebab itulah ramai yang menggunakannya untuk mencaci sesama sendiri dan seterusnya dijadikan modal politik. Sekularisme bermaksud pengasingan antara urusan agama dan pentadbiran.
    • Oleh itu, jika hendak dikatakan sekular Malaysia itu mungkin tidak betul ataupun betul? Jika negara Islam itu meletakkan hudud sebagai hukum tertinggi dalam Perlembagaan, maka bukanlah Islam Malaysia ini (saya tidak bersetuju dengan konsep negara Islam ini). Sekularkah Malaysia apabila Pendidikan Islam diajar dari tadika hingga ke peringkat tertinggi? Adakah sekular Malaysia apabila mempunyai Menteri yang khusus menjaga pentadbiran kemajuan dakwah Islamiyah (walaupun dipersoalkan keberkesanan dan pendapat)? Adakah sekular Malaysia apabila menghantar pelajar-pelajar menuntut jurusan agama di negara-negara Arab (sebagai contoh) menggunakan wang rakyat? Adakah 'mengasingkan pentadbiran dengan agama' jika Imam dan Bilal diletakkan sebagai salah satu komponen pentadbiran? Oleh itu, jangan gunakan perkataan sekularisme sewenang-wenangnya jika anda tidak memahami konsep tersebut. Wikipedia ada jawapannya.
    • Ada juga pihak yang mahu melihat Turki di bawah pimpinan Recep Teyyip Erdogan ini sebagai model yang kita terima pakai. Mungkin. Saya pun ada bersetuju dengan semua ini. Namun, adakah pihak Si Hijau berupaya menerima hakikat bahawa tiada hukum hudud di Turki?
  • Hari ini saya terlihat sebuah 'surat terbuka' untuk seorang ustaz dalam parti Si Merah. Saya jelas sekali kecewa. Mengapa? Dalam mimpi saya untuk melihat Hijau membawa Si Merah bersama-sama ke arah yang baik, dan Si Merah membantu Si Hijau dengan kepakaran mereka, mengapa kita persoalkan usaha seorang ustaz untuk memilih Si Merah. Sebenarnya, itulah yang perlu dilakukan lebih ramai lagi. Jika anda mengatakan mereka dipergunakan oleh Si Merah, bukankah itu buruk sangka? Sampai bila kita boleh laksanakan dakwah secara menyeluruh jika buruk sangka sebelum melaksanakan dakwah itu berlaku? Sekali lagi, saya terfikir tujuan Islamiah yang diperjuangkan itu untuk Islam ataupun menang politik? Jika tidak, persoalan untuk lebih ramai ustaz masuk parti Si Merah tidak timbul. Bukannya jika kita Islam, perlu memilih Hijau sebagai warna kegemaran dan memakai serban putih. Dr Asri dalam websitenya:
    • Nabi s.a.w tidak meninggalkan perincian dalam masalah politik. Politik bukanlah ibadah khusus seperti solat, puasa yang seumpamanya yang tidak boleh diubah. Politik itu sesuatu yang bergerak berdasarkan kemaslahatan hidup manusia. Justeru itu, Nabi s.a.w tidak meninggalkan pendetilan tentang politik, sebaliknya hanyalah prinsip-prinsip umum untuk dipegang oleh manusia. Jika ada pendetilan, ia mempunyai faktor tempat dan masa yang terdedah kepada perubahan. Apatahlagi, pentadbiran kerajaan Nabi s.a.w tidaklah sistematik seperti zaman selepas itu. Ini kerana keperluan politik sudah memadai dengan bentuk pengurusan yang lebih menjurus kepada tribal system ketika itu. Maka pengurusan Nabi s.a.w berdasarkan kepada keperluan rakyat. Kemudian politik itu berkembang dan pengurusannya lebih rumit dan terperinci. Tidak sama pula antara satu tempat dengan yang lain, antara negeri dengan negeri, antara negara dengan negara.
Jika yang ini mengatakan yang ini dan sebelah sana mengatakan yang itu mana mungkin kita boleh melaksanakan apa yang perlu. Ramai yang pandai bercakap namun sedikit sahaja bilangan yang mampu membuat kerja dan melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah SWT. Ramai yang pandai menyatakan tugas-tugas sebagai khalifah namun tidak melaksanakannya. Ramai pula membaca artikel Dr. Asri merasakan beliau menujukannya kepada sesebuah parti. Yang Si Hijau merasakan Dr. Asri mengatakan pendapatnya kepada Si Merah yang Si Merah pula merasakan Dr. Asri mengatakan pendapatnya kepada Si Hijau.

Sayang, kita tahu kita perlu bersatu namun jauh panggang dari api untuk kita berusaha melaksanakannya. Cakap-cakap pasal 'penyatuan Hijau dan Merah' sentiasa dibidas.

Sebab itu kadang-kadang terfikir, jikalah tiada korupsi, tiada kronisme, tiada rasisme, dan isteri-isteri menteri menutup aurat mungkin persoalan siapa lebih Islamik tidak timbul. Mengapa? Sudah banyak program Islamiah yang dijalankan (dari segi pendidikan terutamanya), namun para pemimpin sendiri yang tidak tertarbiyah. Mungkin itu sebabnya.

Oh, bestnya kalau pada 1 Januari ini ada pengumuman penyatuan Hijau dan Merah. It would be the best present Malaysia can give to me. 

Islamkan politik, jangan politikkan Islam kata Dr. Asri.-The Chukai Insider

The best article that I found that portrays Aus and Khazraj unity with our contemporary situation. Read it here.

“Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah antara keduanya; jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka perangilah puak yang melampau itu sehingga mereka kembali mematuhi perintah Allah; jika mereka kembali patuh, maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 9-10).

No comments:

Post a Comment

Anonymous comments will be deleted except comments from 'anonymous' people I know. Please refrain from comments of a racist, sexist, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. The Chukai Insider also reserve the right to delete off-topic comments.